Surah Al-Kauthar : Kebaikan Yang Banyak Rugi Kalau Abaikan

TERJEMAHAN SURAH AL KAUTSAR (KEBAIKAN YANG BANYAK)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

1.Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat)

2.Oleh itu , kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelilah korban (sebagai syukur)

3.Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang dingininya)

KETERANGAN SURAH AL KAUTSAR

Surah Al Kautsar bererti kebaikan yang banyak dan merupakan surah yang ke 108 di dalam Al Quran. Mengandungi tiga ayat sahaja. Surah ini paling pendek, hanya  mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah. Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita  amalkan.

Surah penghibur Nabi Muhammad
Dinamakan al-Kautsar kerana Allah SWT telah mengurniakan kepada Nabi Muhammad SAW kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat. Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad SAW yang bersedih atas kematian dua orang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudara, Abu Talib.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Nabi Muhamad SAW bersabda: "Al-Kautsar adalah sebuah sungai sebelum menjelang ke syurga. Allah telah menurunkannya kepadaku. Allah menjanjikan di syurga nanti ada sungai itu untuk aku. Kemudian Anas bertanya: Adakah sungai itu Nabi Muhamad SAW sahaja? Lalu Baginda menjawab: Sebenarnya al-kautsar itu untuk umatnya juga."

Menurut Nazrul, surah al-Kautsar juga memperjelaskan mengenai Nabi Muhammad SAW yang diberi kebaikan tertinggi oleh Allah SWT iaitu mendapat anugerah teragung kehebatan sungai al-Kautsar di dalam syurga.

Tidak ada yang lebih nikmat bagi seorang Muslim melainkan untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT dan mendapat kenikmatan yang banyak seperti dinukilkan melalui surah al-Kautsar. Kenikmatan tertinggi hanya diperoleh penghuni syurga yang dipilih Allah SWT untuk merasai kenikmatannya.

Pengajaran lain yang terkandung dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW dan umat Baginda supaya sentiasa mengerjakan solat dengan ikhlas serta menyembelih binatang korban sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

Solat adalah amalan pertama dihisab Allah SWT yang akan menentukan tempat kita sama ada di syurga atau neraka. Seperti hadis Rasulullah SAW: "Permulaan amalan yang diperiksa ke atas seseorang hamba pada Hari Kiamat ialah solatnya, jika betul solatnya maka sesungguhnya ia mendapat kemenangan. Jika tidak, maka rugi dan sia-sialah usahanya." (Hadis al- Tabrani daripada Anas)

Dalam surah ini, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW dan umatnya menunaikan solat yang wajib mahupun sunat dengan penuh keikhlasan hanya kerana Allah SWT. Setiap ketaatan terhadap perintah Allah SWT dilakukan untuk mendapat keredaan-Nya tanpa mensyirikkan Allah SWT dengan yang lain.

Sementara itu, anjuran untuk kita melakukan ibadah korban menandakan kepatuhan hamba terhadap seruan Allah SWT, dan pada masa sama, untuk menterjemahkan rasa kesyukuran manusia terhadap anugerah nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya.
Manusia dianjurkan melakukan ibadah bersedekah kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan supaya nikmat yang Allah SWT berikan dapat dikongsi selain mendidik hati manusia tidak kufur atau kikir dengan kurniaan Allah SWT.

Ikhlas lakukan amal ibadah tanda syukur nikmat
Sayid Qutub berkata, "Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin."

Antara inti pati lain yang terkandung dalam surah al-Kautsar adalah berkaitan perkhabaran berita gembira kepada Nabi Muhammad SAW dengan kemenangan ke atas musuh dan kerugian serta kehinaan menimpa mereka lantaran tercantas daripada setiap kebaikan di dunia dan akhirat.

Mereka yang membenci dan menolak syariat dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW seolah-olah menderhaka perintah Allah SWT. Setiap ajaran Baginda adalah perintah daripada Allah SWT, maka mereka adalah orang yang jauh daripada mendapat keredaan Allah SWT.

Nilai setiap sesuatu perkara dilakukan oleh seorang Muslim adalah mengikut ukuran Allah SWT, bukan ukuran manusia. Sebab itulah setiap amalan yang kita lakukan perlu ikhlas kerana Allah SWT. Setiap perbuatan hendaklah berpandukan kepada al-Quran dan hadis supaya tidak terpesong daripada ajaran agama yang sebenar.
loading...

Comments

Popular posts from this blog

Berapa Lama Daging Atau Ayam Boleh Digunakan Selepas Dinyahbeku Tanpa Menghilangkan Zatnya?

Wanita WAJIB Tahu..Tanda Kanser Rahim Bila Keputihan Berwarna Coklat , Bercampur Darah!!

Tip Membeli Tayar Supaya Tidak Tertipu Dan Membahayakan Nyawa Anda