Ketahuilah Bahawa Bersangka Buruk Adalah Dosa Besar!

Seorang ulama' sufi terkenal yang bernama Hassan Al-Basri telah melalui satu detik pengalaman yang menginsafkan diri beliau tentang bahayanya sifat buruk sangka.

Berikut adalah kisahnya yang perlu kita ambil iktibar dan pengajaran berkenaan dengan bahayanya sifat buruk sangka yang terjadi dalam tingkah laku diri beliau apabila berlaku secara beliau tidak sedari.

Pada suatu hari, Hassan Al-Basri ternampak seorang pemuda yang sedang berasmara dengan seorang wanita di tepi Sungai Dajlah.

Bersama pasangan yang kelihatan sedang asyik dilamun cinta monyet itu, terdapat sebotol arak di tepi pasangan tersebut. Hati kecil Hassan Al-Basri berbisik dengan perasaan ujubnya iaitu, "Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"


Pada masa yang sama, Hassan Al-Basri melihat sebuah perahu yang berada tidak jauh dari tempat pasangan itu memadu asmara. Perahu itu mengandungi penumpang yang dipenuhi air dan hampir-hampir tenggelam.

Lelaki yang berasmara tadi terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan penumpang yang terdapat dalam perahu yang hampir tenggelam itu. Jumlah penumpang dalam perahu tersebut adalah sebanyak tujuh orang. Setelah bertungkus lumus menyelamatkan mangsa perahu karam di dalam sungai, lelaki itu telah berjaya menyelamatkan enam orang, manakala seorang lagi masih belum diselamatkan.

Lelaki tersebut berada dalam situasi yang lemah longlai dan hampir tidak mampu lagi boleh berenang untuk menyelamatkan seorang lagi penumpang perahu karam itu. Dalam keadaan nafasnya yang tercungap-cungap setelah naik ke tebing, lelaki itu menghampiri Hassan Al-Basri.

Melihatkan wajah Hassan al-Basri, lelaki itu berkata, "Jika tuan memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi penumpang perahu yang hampir lemas di dalam sungai yang belum sempat saya selamatkan tadi. Tuan diminta untuk menyelamatkan satu orang sahaja, sedangkan saya telah menyelamatkan enam orang dengan izin Allah."

Hassan Al-Basri tanpa berfikir panjang, dengan segera berusaha untuk membantu, tetapi beliau gagal menyelamatkan seorang sahaja mangsa perahu karam itu.

Dengan nada yang begitu kecewa, lelaki berkenaan menjelaskan kepada Hassan Al-Basri, "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanyalah berisi air biasa, bukannya arak. Ini hanya untuk menguji tuan."

Mendengarkan penjelasan itu, Hassan Al-Basri berkata, "Kalau begitu, sebagaimana kamu telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelamnya perahu karam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelamnya diri saya ke dalam kebanggaan dan kesombongan diri."

Hassan Al-Basri sedar bahawa beliau sebenarnya dilanda buruk sangka terhadap lelaki yang berdua-duan di tebing sungai tersebut. Tanpa mencari fakta dan kesahihan situasi sebenar, beliau telah membuat prasangka yang begitu keterlaluan. Bagaimanapun, setelah beliau menyedari akan prasangka buruk itu tadi, Hassan Al-Basri segera bertaubat dan berusaha memperbetulkan kesilapan dirinya dengan berdoa kepada Allah S.W.T.

Lelaki yang disangka buruk itu kemudiannya menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengkabulkan permintaan tuan."

Sejak dari peristiwa buruk sangka itu, Hassan Al-Basri telah berubah. Beliau tidak lagi membuat prasangka buruk dan beliau kini sentiasa bersangka baik dan sentiasa merendah diri. Dia sedar bahawa dirinya adalah manusia biasa yang tidak sempurna dan tidak lepas daripada membuat kesilapan dan dosa.

Wallahu a'lam.
loading...

0 comment... add one now