Waspada! Sifat Riak Dan Sombong Boleh Menghalang Kita Dari Masuk Syurga. Semoga Dijauhkan Dari 2 Sifat Ini...


PERNAH suatu ketika sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah manusia di atas dunia ini mengenali siapa tergolong sebagai ahli syurga atau neraka.
Andai boleh, perlukan manusia beramal sedangkan sudah diketahui mereka menghuni syurga atau neraka.

Rasulullah SAW berkata, setiap orang akan dipermudahkan Allah SWT jalan manakah yang menjadi pilihan mereka. Sesetengah ulama berpandangan, setiap kali azan, manusia itu sedang memilih sama ada menjadi ahli syurga atau neraka kerana ahli syurga akan bersegera bersolat.

Menerusi perkongsian dalam slot Mau'izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menjelaskan antara ciri ahli syurga di dunia ialah orang yang mampu mengawal hawa nafsunya.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Syurga itu dipagari oleh pelbagai kesusahan dan kebencian. Syurga itu juga dipagari pelbagai syahwat dan keseronokan. Jika kamu ingin menghuni syurga, kawal hawa nafsumu."

Dalam kehidupan, jasad mampu dikawal oleh akal, hawa nafsu atau wahyu.Namun, tanpa disedari kehidupan kita dikawal hawa nafsu atau sebaliknya. Mukmin mengawal akal dan nafsunya dengan wahyu, iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Ini petanda golongan itu adalah ahli syurga. Tetapi apabila logik akal digunakan, nescaya manusia akan sentiasa mempersoalkan adanya azab kubur, peristiwa Israk dan Mikraj dan perkara lain yang tidak terjangkau oleh akal.

Islam tidak menuntut manusia membuang hawa nafsunya di atas keperluan tertentu seperti tidur, makan, minum dan sebagainya, tetapi ia mempunyai panduan dan batas yang telah ditetapkan.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Ketika mana Allah mula menciptakan syurga, Dia menghantar Jibril ke syurga dan Allah berfirman kepada Jibril: Lihatlah apa yang telah Aku sediakan di dalamnya untuk penghuninya. Jibril melihat ke dalam syurga dan kembali kepada Allah dan berkata: Demi kekuasaan Kamu ya Allah, tidak seorang pun yang mendengarnya kecuali semua perasaan untuk masuk ke dalam syurga."

Bersifat tawaduk

Kemudian, Allah SWT memerintahkannya untuk memagari syurga dengan perkara yang dibenci iaitu syahwat, lalu Jibril kembali ke syurga setelah ia dipagari dengan kesusahan perkara yang tidak disukai. Setelah itu, Jibril kembali semula kepada Allah dan berkata: 

"Demi kekuasaan Kamu ya Allah, aku bimbang apabila aku melihat sahaja keadaan di syurga, tidak akan ada seorang pun yang dapat memasukinya. 

Kemudian Allah memerintahkan pula Jibril melihat keadaan di neraka, dan setelah itu Jibril berkata: Demi kekuasaan-Mu ya Allah, aku bimbang tidak ada yang mahu mendengar mengenainya. Lalu Jibril diperintahkan untuk memagari neraka dengan syahwat. Kemudian Jibril berkata lagi: Ya Allah, aku lihat  sekiranya manusia mengikut segala nafsu syahwat, nescaya tidak ada seorang pun yang terselamat daripada neraka ini."

Selain itu, tanda lain dapat dilihat oleh manusia yang bakal menghuni syurga ialah mereka sentiasa dalam keadaan tawaduk atau merendah diri. Mereka yang semakin tawaduk, semakin tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Sombong bukanlah pakaian ahli syurga tetapi milik Allah SWT.

Daripada Harithah bin Wahab al-Quza'i, Rasulullah SAW bersabda: "Aku akan memberitahu kamu semua bahawa penghuni syurga adalah semua orang yang lemah dan tawaduk. Insan yang tawaduk akan banyak berzikir dan zuhud, segala kelebihan yang ada pada dirinya akan dikembalikan kepada Allah dan menganggap ia hanya pemberian yang bersifat sementara. Sekiranya mereka bersumpah, nescaya Allah akan kabulkan permintaannya. Rasulullah bersabda lagi: Aku akan memberitahu kamu semua, bahawa penghuni neraka adalah orang yang berjalan dengan sombong dan bersikap takbur."

Sifat ahli syurga yang dapat dilihat di dunia ialah suka melakukan kebaikan. Mereka membuat perkara yang baik tanpa perlu diminta dan berlumba-lumba melakukan kebaikan walaupun berdepan kesusahan atau halangan.

Dermawan, infak harta

Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Penghuni syurga adalah orang yang kedua telinga dipenuhi dengan pujian manis manusia akan kebaikan yang Allah kurniakan kepadanya, sedangkan dia mendengarnya. Penghuni neraka adalah orang yang kedua telinganya dipenuhi dengan pujian manusia mengenai keburukannya."

Manusia yang bersifat dermawan adalah ahli syurga, mereka suka menginfakkan harta benda ketika hidup di dunia. Jangan sesekali meyakini  bahawa rezeki itu milik mutlak seseorang kerana rezeki kurniaan Allah juga satu ujian untuk melihat sejauh mana ia digunakan semula ke jalan Islam.

Ciri-ciri lain ahli syurga yang dapat dilihat di dunia ialah pemimpin yang adil. Seperti diingatkan oleh Rasulullah SAW, dalam kalangan manusia adalah pemimpin dan mereka akan disoal oleh Allah SWT akan tanggungjawab mereka di dunia dahulu.

Berlaku adillah dengan menunaikan hak Allah SWT terhadap diri, tunaikan hak ahli keluarga dan hak terhadap diri sendiri. Sebagai ketua atau pemimpin, perlu berlaku adil dan neraca keadilan seharusnya disandarkan kepada al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.

Jika berlaku percanggahan dan pertelagahan dalam apa juga urusan di sepanjang perjalanan kehidupan, kembalilah kepada Allah SWT dan Rasul SAW.

Rasulullah SAW menggambarkan penghuni syurga tergolong kepada tiga kumpulan iaitu pemerintah adil, mereka yang dermawan, bercakap benar, penyayang dan berlembut hati kepada ahli keluarganya.

Selain itu, ketika seseorang meninggal dunia dan ramai yang menganggapnya seperti ahli syurga juga memberikan gambaran atau ciri-ciri dirinya adalah penghuni syurga.

Sumber: Berita Harian
loading...

0 comment... add one now