Wahai Wanita Tak Payah Setia Kalau Selalu Sangat 'Dibuli' Dalam Hubungan Suami Isteri

“Saya sayang dia kak. Saya tak kisah dia tak bagi saya nafkah. Dia tak pernah pukul saya tapi selalu kata kat saya macam-macam. Pernah juga dia kata saya perempuan sundal masa marah saya kat pasar raya. Dia pernah caci keturunan dan mak ayah saya. 
Tak Payah Setia Kalau Selalu Sangat 'Dibuli' Dalam Hubungan Suami Isteri

Dia pernah tak mengaku anak kami tu anak dia. Tapi bukan saya yang curang kak. Dia yang curang. Dah banyak kali saya jumpa gambar dia dengan perempuan berpelukan dalam bilik hotel. Bila saya tanya, dia mudah aje jawab, kalau tak suka, pergi la mintak fasakh. Masalahnya saya sayang dia kak. Sayang sangat. Saya cuma nak dia berubah. Macam mana saya nak buat kak?”


Luahan dikongsi  seorang isteri muda yang berkahwin atas dasar cinta. Apa maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah satu perasaan yang muncul dalam diri bila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu MEMERLUKAN! Lantas, bila diri memerlukan dan diperlukan; usia, rupa, pangkat malah sikap seseorang, bukan lagi halangan, yang ada di dalam diri hanyalah rasa kasih menebal di dalam hati.

Namun, perlu difahami, perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat membuktikan kasih sayang sebaliknya adalah permulaan peranan besar memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Perkahwinan adalah ikatan antara sepasang manusia bernama lelaki dan wanita bagi mewujudkan satu hubungan yang mesra, ceria dan bahagia. 

Firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 21: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."

Bermaksud, andai tiada senang hati, tiada hidup mesra, biar pun masih ada perasaan kasih sayang, bermaksud perkahwinan anda gagal mencapai hikmah perkahwinan dianjurkan syariat.

Menjawab persoalan, apa yang perlu dilakukan? Menurut hukum syarak dan peruntukan Undang-undang Keluarga Islam di Mahkamah Syariah, isteri di dalam kes seperti ini mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinannya secara fasakh menggunakan tiga alasan iaitu suami gagal memberikan nafkah zahir, suami lazim menyakiti dan menganiayai dan suami hidup dalam keadaan melanggar hukum syarak. 

Tak nak cerai, nak ubah suami? Silakanlah! Anda memang wajib berusaha untuk mengubah suami dengan usaha iaitu tindakan yang berkaitan termasuk menegur kesilapannya dan berdoa kepadaNya agar suami anda berubah.

Bagaimana jika telah berusaha sekian lama dan berdoa tapi suami masih tak berubah? Ingatlah seperkara:  kita tak mungkin dapat mengubah sikap malah hati orang lain. Tapi kita boleh berusaha agar hatinya malah sikapnya berubah menjadi lebih baik. Usaha bermaksud laksanakan tindakan yang perlu beserta doa mohon yang terbaik daripadaNya. 

Jika DIA izinkan, insya Allah usaha dan doa kita berhasil. Andai sebaliknya, mungkin menjadi petunjuk bahawa telah tiba masanya kita pula mengubah prinsip dan pendirian serta kehendak kita. Sebagai hambaNya, kita takkan mungkin dapat miliki semua yang kita ingini. Bukan Allah tak suka tapi Dia sedang menguji kita sebagai hamba; mampukah untuk redha, bersyukur dan menghargai.

Jika anda mahu terima sesuatu yang berlaku dalam hidup anda sebagai takdirNya penuh hikmah, anda mudah untuk redha sebaliknya jika anda enggan atau sukar untuk terima, nescaya anda sukar untuk redha. Terima bahawa anda diberikan pasangan yang perlu dibantu. 

Terima bahawa anda sekadar boleh berusaha tapi tak boleh ubah pendiriannya. Tapi anda masih sayang dan tak nak kehilangannya? Bukalah mata hati, jangan hanya memandang dengan penglihatan penuh emosi. Jika ingin diri anda disayangi, sayangilah diri anda terlebih dahulu. 

Jika ingin diri anda dihormati, hormatilah hak anda terlebih dahulu. Jika ingin diri anda dihargai, hargai juga diri anda terlebih dahulu. Mana mungkin anda akan disayangi, dihormati dan dihargai jika anda sendiri gagal menyayangi, menghormati dan menghargai diri anda sendiri...

Anda mungkin kehilangan cinta manusia untuk seketika kerana si dia tidak layak untuk anda. Janji Allah, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik, begitu jugalah sebaliknya. Anda sedang diuji kerana anda dicintai Ilahi. 

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesungguhnya ketika Allah menciptakan kasih sayang, Dia menciptakannya 100 bahagian. DisimpanNya 99 bahagian di sisi-Nya, dan Dia memberikan untuk seluruh makhlukNya satu bahagian." - hadis Riwayat at-Thabrani.
loading...

Comments

Popular posts from this blog

Berapa Lama Daging Atau Ayam Boleh Digunakan Selepas Dinyahbeku Tanpa Menghilangkan Zatnya?

Wanita WAJIB Tahu..Tanda Kanser Rahim Bila Keputihan Berwarna Coklat , Bercampur Darah!!

Tip Membeli Tayar Supaya Tidak Tertipu Dan Membahayakan Nyawa Anda