Perhatian Para Pemandu Benarkah “Reverse Parking” Lebih Selamat Atau Sebaliknya?

Apabila kita memasuki tempat letak kereta terutamanya di pusat membeli belah atau pejabat, kita dapat perhatikan beberapa cara pemandu meletakkan kereta mereka di kotak parking. Ada pemandu yang terus memandu masuk ke kotak parking. 

Teknik parking ini dipanggil forward parking. Ada juga pemandu  yang mengundurkan kereta mereka untuk masuk ke kotak parking. Teknik mengundur ini dipanggil reverse parking.

Meletakkan kereta kita menggunakan teknik reverse parking dikatakan LEBIH SELAMAT berbanding  terus masuk ke kotak parking atau forward parking. Ianya bukan sahaja lebih selamat, malah dikatakan lebih efisyen dari beberapa aspek.

1. Mengelakkan kemalangan

Apabila mengundur masuk ke kotak parking, kita akan mengundur masuk ke tempat yang kosong dan selamat. Ianya mungkin sedikit sukar dan mengambil masa yang lebih terutamanya kepada pemandu yang baru. Namun begitu, semasa ingin keluar daripada kotak parking, kita boleh terus memandu tanpa perlu meluangkan masa untuk mengundur.

Sekiranya kita meletakkan kereta secara forward parking, walaupun mudah bagi kita untuk masuk, semasa ingin keluar dari kotak parking kita terpaksa mengundur ke laluan kenderaan lain yang mungkin bergerak laju. Ini pastinya kurang selamat kerana bahagian belakang kereta kita boleh dilanggar oleh pemandu yang lalai.


2. Pandangan lebih jelas

Cuba bayangkan sekiranya kereta kita diapit oleh sebuah Toyota Alphard di sebelah kanan dan sebuah Mitsubishi Triton di sebelah kiri. Adakah mudah untuk kita mengundur keluar kereta kita?

Walaupun kereta kita dilengkapi reverse sensor, kita masih perlu memusingkan kepala ke belakang untuk melihat dan memastikan tiada kereta lain di laluan belakang kita. Kereta yang berada di kedua-dua belah tadi pastinya akan mengggangu line of sight kita. Tambah buruk lagi sekiranya kenderaan di sebelah kita tadi cermin tinted sampai level 90% gelap gelita. Macam mana nak nampak kenderaan yang lalu-lalang di belakang?

Sekiranya kita meletakkan kereta kita secara reverse parking, ini tidak akan menjadi masalah. Tak kira apa jenis kereta pun yang mengapit kita, kita tak perlu memusingkan kepala secara berlebih-lebihan pun untuk melihat kenderaan yang lalu lintas di laluan kita. Walaupun mengambil masa sedikit semasa masuk, ianya sangat mudah apabila kita ingin keluar.

3. Tindakan pantas sekiranya berlaku kecemasan

Bayangkan sekiranya kita mendapat suatu panggilan kecemasan, atau pusat membeli belah tadi terbakar dijilat api dan kita perlu keluar dari situ dengan kadar segera; adakah kita nak terhegeh-hegeh undurkan kereta atau terus sahaja pandu keluar?

Pada waktu sebegini, tumpuan kita pastinya terganggu dan kita mungkin mengundur secara gelojoh dan melanggar kenderaan lain yang sedang berada di laluan kita. 

Dalam situasi kecemasan, masa adalah sangat berharga dan laluan keluar perlu lancar supaya semua orang boleh keluar dalam masa yang paling singkat. 

4. Mudah sekiranya kereta tak dapat dihidupkan

Bayangkan sekiranya kita terlupa untuk menutup lampu semasa parking lalu bateri kereta kita menjadi 'kong' sehingga kita tidak dapat menghidupkan enjin. Dalam posisi manakah ianya lebih mudah untuk kereta kita ditolak oleh orang ramai atau dihidupkan dengan menggunakan jumper oleh kereta lain?

Pastinya dalam posisi reverse parking. Ini kerana ianya lebih mudah untuk terus tolak kereta keluar dari kotak parking tanpa perlu terkial-kial memusing stereng yang liat akibat power steering tak berfungsi. Lagipun, bateri kereta kita letaknya di depan, bukan di belakang.

***

Jadi, cara parking yang manakah anda akan praktikkan selepas ini?

Jangan lupa SHARE artikel ini dengan kawan-kawan anda jika ianya bermanfaat.

Sumber Rujukan: Geotab, Safestart, The Week
loading...

0 comment... add one now