Sudah jadi trend sekarang ini, orang tua bercerai kerana mahu kahwin lagi

“BIASANYA kita dengar dan diberitahu golongan muda hari ini ramai yang tidak tahan keperitan dan tekanan berumah tangga, maka mereka ambil tindakan mengakhiri perkahwinan mereka pada peringkat awal, malah ada yang belum sampai 10 tahun. Itu golongan muda, tetapi kita jangan lupa, ramai pasangan yang telah berkahwin lebih 20 tahun juga mengakhiri zaman berumah tangga kerana tidak tertahan dengan tekanan dan hilang sabar.
“Mengapa ini berlaku? Tentulah banyak sebabnya hanya mereka yang bermasalah sahaja yang boleh beri jawapan dengan jelas mengikut masalah masing-masing. Contoh diri saya sendiri, sudah lebih 26 tahun berkahwin, usia pun dah dekat 50 tahun tetapi bercerai kerana suami saya ingin kahwin lagi,’’ Itu cerita Puan Manisah dalam e-melnya.

“Kalau saya katakan saya minta cerai kerana suami hendak kahwin lain, tentu pembaca lelaki kata saya isteri zalim dan menentang sunah nabi. Sebenarnya saya tak kisah apa juga pembaca nak kata, sebab masalahnya cuma saya sahaja yang tahu dan merasakan betapa pahitnya hidup bersama suami yang tidak pernah jujur dan ada muslihat tersendiri.

“Saya kata demikian kerana ini pengalaman saya kahwin dengan suami yang berkira dan kedekut duit ringgit. Bukan gajinya kecil, malah pendapatan kami sama, tetapi dia meletakkan sepenuh tanggungjawab keluarga kepada saya, alasannya, dia perlu bantu emaknya. Dia kata saya dapat pahala besar tolong suami susah.

“Betul tanggungjawab anak lelaki pada emak ayahnya, tetapi janganlah lupakan terus anak-anak sendiri, sebab mereka tanggungjawabnya. Sejak mula kahwin lagi suami saya Noah minta saya bersabar sebab dia nak bantu adik beradiknya bersekolah sebab emak ayahnya orang susah.

“Dengan perasaan serba salah, saya terpaksa terima kerana permintaan suami perlu bantu ibu dan adik beradiknya yang ingin melanjutkan pelajaran. Tetapi apabila dua orang anaknya sudah bekerja, takkan nak tanggung lagi, mengapa tak berkongsi dengan adiknya. Adik lelakinya juga bertanggungjawab kepada emaknya. Kalau dulu, setiap bulan bagi emak RM500 sebulan, sepatutnya bila adik dah bekerja, kurangkanlah pada RM300.

“Tetapi tidak, malah adakalanya lebih lagi, bila emaknya minta bantuan besarkan dapur, betulkan atap bocor, buat bilik mandi dan sebagainya. Saya pernah tanya Noah mengapa tak minta bantuan adiknya, sebagai abang jika ada masalah bawak berunding dan berpakat, tapi tidak, semua dia kena tanggung.

“Kerana masalah yang banyak, bila anak-anak semakin membesar. Maka saya kurangkan belanja rumah, sebab saya pun perlu bantu emak saya. Bila saya buat begitu Noah bising kata saya lebihkan keluarga sedangkan ada suami dan anak-anak yang perlu perhatian.

“Kalau soalan itu ditujukan kepada anda tentu sakit hati jugak kan? Saya katakan sepatutnya tugas jaga keluarga menjadi tugasnya yang utama. Pandai-pandailah berjimat dan menguruskan dua rumah untuk emak dan untuk anak-anak. “Sebenarnya saya berani bersuara selepas 10 tahun berkahwin, setelah dua adik perempuan dan lelakinya bekerja. Dulu semasa awal berkahwin, saya banyak ikut kehendak Noah, kerana fikirkan Noah perlu bertangungjawab kepada adik beradik dan emak ayahnya. Tetapi sampai bila saya mesti bersabar. Sebab adik-adiknya sudah bekerja.

“Saya tanya kenapa Noah seorang bertanggungjawab. Alasan Noah, gaji mereka kecil. Dulu gaji Noah juga kecil, tapi dia tetap bantu keluarganya. Saya pula terpaksa tanggung anak-anak.

“Dipendekkan cerita sampai masa adik perempuan Noah nak kahwin, kelam kelibutlah Noah, dia merungut tak ada dan duit nak pinjam duit saya. Mana saya ada duit sebanyak RM5,000. Kata Noah emaknya perlukan duit segera. Noah suruh pinjam pada emak ayah saya. Tapi saya tolak, dia sendiri faham keluarga saya bukan banyak duit. Kesabaran saya ketika itu memang sudah tidak dapat dibendung. Lebih 15 tahun saya bersabar, saya rasa sampai waktunya saya mesti tegas.

“Nak jadikan cerita satu hari adik Noah telefon. Adiknya minta saya sampaikan pesanan suruh Noah balik kampung, sebab emak nak berunding pasal kenduri. Mulanya saya sakit hati juga, tetapi setelah bertanya, adiknya beritahu Noah sudah lama tak balik, nak telefon pun tak dapat.

“Waktu itu berdesing telinga saya. Sebab Noah kata setiap bulan balik ke kampung, konon nak tengok emak dan beri duit. Tapi mengapa adik Noah kata dia dah lama tak balik? Apa sudah jadi? ke mana dia pergi? Pelik!

“Kata adiknya Noah dah lama tak balik, telefon pun tidak. Mereka bukan nak minta duit, tapi berunding pasal Noah akan nikahkan adiknya, sebab ayahnya sudah meniggal dunia. Memang saya akui saya balik kampung Noah setahun dua kali, pertama kerana jauh, kedua kerana anak-anak sibuk dengan tuisyen dan peperiksaan.

Bohong

“Bila Noah balik saya beritahu adiknya telefon dan emaknya suruh balik kampung. Terkejut Noah. Tapi dia pandai sorokkan kekagetannya. Kemudian saya tanya dah berapa lama tak balik kampung. Katanya “Baliklah! Dia tak jawab soalan saya. Saya tanya lagi; “Setahu saya setiap bulan awak balik kampung, Sabtu pagi pergi Ahad malam tiba rumah. Tapi adik beritahu sudah tujuh bulan tak balik kampung, awak pergi mana?’’

“Tanpa menjawab soalan, Noah masuk bilik tukar pakaian terus mandi. Mendidih darah saya kerana Noah tak jawab soalan. Hangat hati punya pasal saya ambil telefon Noah buka dan baca. Terkejut beruk saya, barulah saya tahu rupanya Noah ada teman wanita. Selama ini saya tidak pernah buka telefonnya, sebab saya percayakan dia. Benarkah Noah ada kekasih!

“Saya tunggu Noah habis mandi untuk dapatkan jawapan. Pastilah saya kena marah. Namun saya terus tanya siapa wanita dalam telefonnya. Noah terkejut sebab saya buka telefonnya. Sebab selama ini saya tak pernah tengok apa lagi gunakan telefonnya.

“Hilang isu tak balik kampung, malam itu kami bertekak pasal wanita, Noah nafikan dia ada kekasih? Saya tak puas hati. Noah marah sebab baca Whatsappnya. Saya pulak nak tahu betulkah dia ada kekasih?

“Peristiwa malam itu buat saya tak boleh tidur. Tak sangka Noah menganiaya saya. Sejak hari itu hubungan kami jadi tidak mesra lagi. Kalau dulu saya bersabar uruskan belanja rumah, tetapi sekarang setiap perbelanjaan rumah saya minta pada Noah. Ini membuatkan dia hangat hati. Dia cukup kedekut. Alasannya beri duit pada emaknya terbukti bohong. Di majlis kahwin adiknya saya dapat banyak maklumat, selama ini Noah tidak banyak beri sumbangan pada emaknya. Balik kampung pun jarang.

“Dalam senyap saya jalankan siasatan. Setiap kertas dari dalam lacinya saya baca. Sementara itu hari berganti bulan, bulan beganti tahun, saya lihat Noah berubah tak macam dulu sibuk dengan kawan dan suka telefon kawan. Dia juga kurang bercakap dengan saya, kecuali yang penting. Saya fikirkan dia sudah insaf rupanya tidak, dia ada muslihat lain.

“Nak jadikan cerita satu hari anak saya beri saya surat ayahnya yang sudah dibuka, surat itu terjatuh bawah tempat duduk pemandu. Anak suruh saya baca. Surat dari ASB. Terkejut saya bila saya lihat simpnannya lebih RM100,000. Ohh! Rupanya selama ini kata tak ada duit sebab beri pada emaknya, rupanya dia buat simpanan sendiri. Ini baru dalam ASB macam mana kalau dia ada simpanan dalam bank lain?

“Surat itu saya letak atas katil supaya dia tengok. Apa lagi dia naik berang tuduh saya selongkar keretanya. Sekarang tahulah saya, bahawa keretanya itulah tersimpannya rahsia peribadinya. Patutlah dia gunakan kereta kecil saya disuruh guna kereta lebih besar, supaya saya dan anak-anak tidak naik keretanya untuk balik kampung dan bercuti.

“Kerana terlalu marah maka terbukalah isi hatinya, dia mengaku dia ingin kahwin lagi, sebab tak tahan perangai saya dan kawal kebebasan hidupnya. Katanya sama ada saya setuju atau tidak dia akan kahwin lagi. Kerana saya bantah dia akan ceraikan saya.

“Begitu mudah saya diceraikan. Selepas melepaskan marahnya seminggu dia tak balik ke rumah. Pada kesempatan itu saya berunding dengan anak-anak, sebab mereka sudah remaja dan faham masalah yang saya hadapi, saya minta pandangan mereka apakah patut saya bermadu, atau bercerai. Saya terkejut bila anak-anak sepakat kata lebih baik saya bercerai.

“Kata mereka selama ini pun ayah tak beri nafkah secukupnya. Jika ayah tak mahu beri nafkah selepas bercerai tiga dari empat orang anak saya sepakat tinggal dengan ayah mereka, kerana sampailah giliran ayah tanggung makan minum dan persekolahan mereka. Anak sulung saya masuk IPTA dia tinggal dengan saya. Tapi saya sedih bekerja bertahun-tahun, akan bersara beberapa tahun lagi, tetapi simpanan dalam Tabung Haji tak sampai RM10,000. Sedih memang sedih.

“Saya ikut pilihan anak-anak, kini saya dapat title ibu tunggal, anak-anak tinggal dengan ayah mereka. Tapi masalahnya mereka lemas dengan perangai ayah yang kedekut untuk belanja persekolahan dan makan minum. Saya kesian pengorbanan anak-anak. Tapi apa boleh buat mereka sanggup berkorban kerana saya.

“Kini sudah lebih setahun bercerai, Noah belum nikah lagi, mungkin kerana anak-anak tinggal dengan ayah mereka. Oleh kerana anak-anak pilih tinggal dengan ayah mereka, saya disuruh keluar rumah yang kami duduk selama ini. Saya tak kisah sewa rumah lebih kecil, tapi saya tidak akan berdiam diri, saya akan tuntut hak ke atas rumah tersebut, kerana itulah satu-satunya harta sepencarian yang kami ada.’’ Itu cerita Manisah tentang perangai suami yang tidak jujur memperbodohkan isteri, buat simpanan sendiri demi kepentingan dirinya. – Utusan
loading...

Comments

Popular posts from this blog

Berapa Lama Daging Atau Ayam Boleh Digunakan Selepas Dinyahbeku Tanpa Menghilangkan Zatnya?

Wanita WAJIB Tahu..Tanda Kanser Rahim Bila Keputihan Berwarna Coklat , Bercampur Darah!!

Tip Membeli Tayar Supaya Tidak Tertipu Dan Membahayakan Nyawa Anda