Tak hairan kenapa jualan harta negara mula berlaku, kata Kadir Jasin

BANGI, 3 Ramadan 1438H, Isnin – Penjualan harta negara secara besar-besaran kepada orang asing, khususnya dari China, tidak menghairankan jika kita faham dasar dan kedudukan ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), kerajaan komited kepada pembebasan ekonomi dan kuasa pasaran yang bermaksud sesiapa sahaja yang mempunyai wang, bebas untuk menguasai ekonomi.
“Kedua, kerajaan kekurangan wang walaupun telah perkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan naikkan pelbagai cukai, yuran dan tol serta potong peruntukan pembangunan.

“Bukan DRB-Hicom saja terpaksa menjual harta kerana kesukaran perniagaan. Banyak syarikat swasta lain dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga terpaksa jual harta mereka di dalam dan luar negara untuk tampung kejatuhan keuntungan.

“Jadi adalah tidak menghairankan kalau syarikat luar yang banyak duit, khususnya dari China, berlumba-lumba membeli harta di negara kita,” katanya mengulas langkah DRB-Hicom menjual saham Proton kepada syarikat China – Zhejiang Geely Holding.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, sejak Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Proton pada 1983 dan kereta pertamanya, Proton Saga, keluar pada 1985, ia berperanan sebagai projek pendayaan ekonomi iaitu bagi membolehkan Malaysia memasuki satu bidang baharu perindustrian.

Sejak itu, katanya, telah mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan dan melatih pekerja mahir, khususnya Bumiputera, dalam industri automotif.

Beliau berkata, sebelum kerajaan mengubah dasar industri automotif – bermula pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi – dengan membuka pasaran tempatan kepada kereta import murah, Proton adalah model paling laris di Malaysia.

“Kini, akibat pembukaan pasaran yang melampau dan kelembapan ekonomi, penjualan kereta buatan Proton jatuh dengan teruk dan perniagaan Proton tidak lagi lestari.

“Adalah tidak mustahil selepas ini pemilik baharu Proton akan lakukan proses rasionalisasi yang mungkin libatkan pemberhentian pekerja seperti yang kerap berlaku apabila sesebuah syarikat bertukar tangan. Seperkara lagi apakah jaminan pemilik baharu Proton akan teruskan dasar ambil dan latih pekerja tempatan, khususnya Bumiputera?,” katanya.

Kadir berkata, jika syarikat milik Cina tempatan pun kurang berminat mengambil pekerja Bumiputera, apakah syarikat milik negara China akan memberi peluang secukupnya kepada Bumiputera?

“Kita mesti ingat majoriti pekerja dan pembekal Proton adalah Bumiputera. Apakah agaknya nasib mereka kini Proton dimiliki oleh pelabur China? Proton adalah sebahagian kecil saja daripada senarai beli-belah China di Malaysia yang termasuk pembinaan pelabuhan, hartanah, landasan kereta api dan pemberian hutang,” katanya.
loading...


Comments

Popular posts from this blog

Berapa Lama Daging Atau Ayam Boleh Digunakan Selepas Dinyahbeku Tanpa Menghilangkan Zatnya?

Wanita WAJIB Tahu..Tanda Kanser Rahim Bila Keputihan Berwarna Coklat , Bercampur Darah!!

Tip Membeli Tayar Supaya Tidak Tertipu Dan Membahayakan Nyawa Anda