Hukum Ucap 'Merry Christmas' Adalah Harus Tetapi Perlu Patuhi Syarat Ini - Mufti WP

PETALING JAYA: Tidak salah untuk orang Islam memberi ucapan Selamat Hari Krismas atau “Merry Christmas” kepada orang Kristian atas dasar memupuk persaudaraan dan muhibah, kata mufti Wilayah Persekutuan.


Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata ia sesuai dengan peranan Islam mengangkat peradaban manusia dan realiti masyarakat majmuk.

Tinggal 3 malam lagi sebelum Krismas, Zulkifli terpanggil menjawab isu yang mencetuskan salah faham dalam kalangan orang Islam dan dengan orang Kristian.

Hukum Ucap 'Merry Christmas' Adalah HARUS

“Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas adalah harus,” katanya dalam satu kenyataan.


Dengan Syarat Seperti Berikut:

Beliau menggariskan beberapa panduan umum untuk orang Islam seperti mengucapkan “Merry Christmas” sebagai tanda perpaduan dan hubungan kemasyarakatan; tidak disertai niat untuk;
  1. mengagungkan, 
  2. memuliakan dan 
  3. menyetujui agama lain; 
  4. dan tidak mengandungi perbuatan yang menyalahi syarak.
Menurut Zulkifli, menghadiri jemputan makan malam, menziarahi bukan Islam dan bertukar hadiah juga dibenarkan, khususnya kepada mereka yang mempunyai ikatan tertentu seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman pengajian dan sekerja.

“Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah).

“Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini.

Turut Serta Dalam Ritual Agama Tidak Dibenarkan

“Adapun melibatkan diri dalam upacara keagamaan khusus mereka, ia tetap tidak dibenarkan di sisi Islam,” kata Zulkifli.

Mufti Wilayah Persekutuan turut menasihatkan para ulama supaya mentafsirkan teks klasik silam dengan disesuaikan pada kerangka masa kini.

“Tidak cukup hanya sekadar menukilkan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam, bahkan para ulama’ perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi’ (‘membaca’ realiti semasa).

“Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana.

ISLAM Beri Rahmat Ke Seluruh Alam

“Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat),” katanya.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia 2010 menunjukkan jumlah penganut Kristian adalah yang ketiga terbesar iaitu mencapai 9.2% daripada keseluruhan rakyat.

Mereka terbahagi kepada beberapa mazhab seperti Roman Katolik, Protestanisme dan Anglikanisme.

Sila kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan Islam yang lain agar sama-sama dapat memahami isu ini dengan lebih baik. Jika ada rakan beragama lain mahukan penjelasan juga, amat digalakkan untuk berkongsi dengan mereka supaya kita dapat hidup dalam suasana muhibbah dan bersatu-padu.
loading...

0 comment... add one now