Dapat Suami Jenis Tak Sensitif Dengan Emosi Isteri? Sila Buat 3 Cara Ini Dulu & Tengok Hasilnya!

Pernahkah anda berasa begitu kecewa dengan sikap suami yang mula tak berminat pada anda? Semakin tua semakin keras dan kaku cara pergaulan yang anda lakonkan bersama suami, mengapa begitu? nak tahu lebih jauh, ikuti pandangan dari Dato' Dr. Haji Juanda Haji Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly ini...

Bukankah panjangnya usia menentukan tahap kebijaksanaan kita dalam bercinta? Bijaksana apanya kalau hari jadi isteri tak pernah ingat tapi sanggup awal pagi buka mata terus bagi kata-kata mesra selamat hari jadi dan tahniah pada kawan wanita.

Walaupun hanya kawan tapi jika sudah terlebih perhatian dan layanan, ia menzalimi perasaan pasangan. Ramai isteri patah hati melihat suami sanggup bersama kawan rapat bergurau mesra daripada temankan isteri yang sakit.

Apakah punca suami sekarang tidak sensitif dengan perasaan isteri, apakah kerana isteri terlalu pemaaf dan mendiamkan sahaja perangai suami sebegitu? Eloklah jika isteri mengambil langkah-langkah pencegahan agar tidak patah hati, di antaranya adalah...

1. Ajar suami cara mencintai anda

Suami boleh lupa bagaimana menjaga perasaan isteri, dia manusia biasa yang diuji oleh harta, kerjaya, manusia di sekelilingnya dan pelbagai masalah yang datang menikam jantungnya. Suami juga letih, lemah, lalai dan lupa menghargai dirinya sendiri oleh itu jika dia lupa menghargai isteri seharusnya isteri ajar dengan cara yang baik dan lembut.

Berterus teranglah apa yang isteri mahu dan apa yang tidak, cara komunikasi tak seharusnya dengan gaya yang serius, bahasa yang tajam dan menikam, elok sungguh jika suami dan isteri banyak meluangkan masa bersembang santai dan cuba merungkai kesengsaraan masing-masing. Luahkan dan minta pasangan faham keadaan dan perasaan hati jika dilukai. Akibat kekurangan masa bersamalah yang menyebabkan suami isteri terputus hubungan.

Ingat, tempat -tempat penting untuk merapatkan komunikasi adalah di meja makan, bilik tidur, di atas tikar sembahyang. Isteri kena tunjukkan dan ajar suami secara tidak langsung dengan memberi contoh yang baik bagaimana bercinta secara romantik.

Lihatlah cara Aisyah mengambil hati Rasulullah s.a.w, Aisyah berkata: “Aku pernah minum sedangkan ketika itu aku haid. Aku memberikan minuman kepada Rasulullah dari gelas yang sama, di situlah baginda menempelkan mulutnya di tempat yang sama aku meminumnya.” (Hadis riwayat Muslim)

2. Banyakkan bercakap walau tidak penting

Senyap, bisu, mengunci lidah merupakan pembunuh paling merbahaya dalam komunikasi. Jika suami tiba-tiba tak mahu bercakap seharian, ia suatu petanda tak baik. Kenapa cari alasan banyak kerja sampai tak sempat bersembang? Bukankah kita ada aplikasi bermacam-macam sekarang ini, jika untuk kawan boleh kenapa untuk pasangan tidak? Usik-usiklah suami, jangan diamkan kalau dia diam. Nanti jika isteri merajuk suami juga akan tergerak hati memujuk.

Percakapan yang sifatnya ‘berbasa-basi’ menunjukkan kita memperhatikan pasangan, cuba memujuk dan memuji juga mampu memikat hati pasangan. Kelebihan bermain dengan kata-kata yang romantik semestinya dipelajari dan bahan-bahan bacaan yang sebegini mampu mengasah kepetahan anda menundukkan pasangan. Jangan jadi rabun membaca hati suami dan jangan terus buta bila memandang keindahan jiwa isteri. Baca dan suarakanlah isi hati dengan kalimah-kalimah yang indah.

3. Pentingkan pasangan daripada kawan

Isteri yang lebih memilih suaminya daripada keluarga dan kawan-kwannya akan dilayan sebegitu juga oleh suami. Tapi disebabkan isteri terlebih baik dengan orang lain sehingga suami pun membalas perbuatan yang sama maka keadaan itu akan menjadi punca pertengkaran suatu hari nanti.

Mahukah jika suami lebih memilih kawannya menjadi teman makannya setiap hari? Bersediakah anda jika suami lebih selesa bersembang dengan kawan daripada isteri? Mungkin kita tidak perasan selama ini telah mengabaikan suami sehinggalah kita berasa sangat diabaikan olehnya. Suruhan untuk mementingkan pasangan dari orang lain adalah suruhan Nabi s.a.w.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w memiliki seorang jiran keturunan parsi. Dia telah memasak kuah yang sedap untuk Rasulullah. Dia datang untuk menjemput Nabi s.a.w,

Baginda bertanya: aku datang dengan dia? Sambil menunjuk kepada Aisyah. Jiran itu berkata: Tidak. Rasulullah pun menjawab: kalau begitu aku tidak mahu. Kemudian jiran itu datang lagi menjemput. Rasulullah bertanya: bagaimana dengan dia (Aisyah). Orang itu berkata: Tidak dan Rasulullah pun berkata: Kalau begitu tidak. Kemudian orang itu datang lagi menjemput. Rasulullah bertanya lagi: dengan dia (Aisyah)? Jiran itu berkata: Ya, boleh. Kemudian rasulullah dan Aisyah berjalan beriringan ke rumah jiran baginda tadi. (Hadis riwayat Muslim)

Lihatlah betapa baginda s.a.w begitu mementingkan isteri dari kawan-kawannya. Tapi lihatlah juga bagaimana layanan Aisyah yang berjaya mencuri hati Rasulullah s.a.w. Kita tidak salahkan suami sekarang jika mereka kurang romantik, kerana ia mesti dilakukan oleh kedua belah pihak.

Jika kita mampu mengamalkan 3 langkah di atas insya-Allah kita boleh perbetulkan hati yang sudah retak menunggu patah. Jangan patah semangat nanti patah hati!
loading...

0 comment... add one now