Mentega atau Marjerin? Salah Satunya Mungkin Boleh Membawa Maut.

Bertahun lamanya masyarakat berdebat tentang lepa atau sapuan mentega dan marjerin. Yang mana satukah lebih baik untuk kesihatan, mentega atau marjerin?
Mula-mula, mari kita kenali mentega dan marjerin. Walaupun kedua-duanya boleh digantikan antara satu sama lain dan bahan-bahan ini sering digunakan untuk tujuan yang sama, mentega merupakan suatu produk tenusu manakala marjerin pula diperbuat daripada lemak sayuran.


Lemak Tepu vs Lemak Tak Tepu
Lemak tepu sering didapati dalam daging, krim dan juga mentega. Jika anda perhatikan komposisi kimia dalam sel asid lemak tepu, anda boleh dapati tiada ikatan ganda dua antara mana-mana atom karbon. Ini menunjukkan lemak ini padat dengan molekul CH2 dan tiada ruang kosong dalam rantaian asid lemak.

Sekarang, kita tengok pula komposisi kimia dalam sel bagi asid lemak tak tepu yang terdapat dalam minyak sayuran.

Jika dibandingkan dengan komposisi kimia dalam sel daripada mentega, anda boleh lihat minyak sayuran mempunyai ikatan ganda dua antara atom karbon. Ikatan ganda dua ini bermakna rantaian molekul CH2 boleh diputuskan dan mewujudkan ruang dalam rantaian asid lemak.

Pada suhu bilik, lemak tepu (mentega, produk tenusu) adalah berbentuk pejal manakala lemak tak tepu (minyak sayuran) merupakan cecair. Disebabkan perbezaan struktur kimia kedua-dua asid lemak ini, ia memberikan kesan yang berbeza pada tubuh.

Kolestrol baik (HDL) vs kolestrol tidak baik (LDL)

Apabila asid lemak tepu memasuki salur darah, ia meningkatkan kadar kolestrol "tidak baik" yang dikenali sebagai low-density lipoprotein (LDL) dan mengakibatkan salur arteri tersumbat.

Ini berbeza dengan asid lemak tak tepu yang meningkatkan kolestrol "baik" iaitu high-density lipoprotein (HDL). HDL boleh membantu membawa LDL ke bahagian hati untuk diuraikan dan dinyahkan dari badan.

Secara umumnya, jika kita meningkatkan pengambilan HDL, lemak tak tepu ini boleh melindungi badan daripada kerosakan yang ditinggalkan oleh lemak tepu.

Maknanya, marjerin lebih bagus daripada mentega?
Nanti, sabar dulu.

Disebabkan kajian sains mendapati lemak tepu ini lebih berbahaya kepada pengguna, pengeluar makanan mula memperbanyakkan penggunaan lemak tak tepu dalam produk. Walau bagaimanapun, mereka dapati lemak tak tepu seperti minyak sayuran ini adalah lebih mudah rosak.

Masalah ini dapat diatasi dengan proses penghidrogenan untuk membuatkan produk tahan lebih lama dan memejalkan marjerin.

Tapi, apabila lemak tak tepu melalui proses penghidrogenan, komposisi kimia dalam sel serta-merta bertukar hingga terciptanya sejenis lemak baru yang dinamakan lemak trans.

Makanan bergoreng, donat dan biskut semuanya mengandungi kandungan lemak trans yang tinggi. Lemak trans amat jarang didapati daripada sumber semula jadi dan banyak kajian mendapati ia memberi kesan toksik pada tubuh badan.

Ia bukan sahaja meningkatkan kadar kolestrol "tidak baik", malah pada masa yang sama ia juga mengurangkan kadar kolestrol yang "baik" dalam badan. Oleh itu, ia tidak mengandungi sebarang unsur positif bagi manusia dan hanya boleh memburukkan lagi simptom penyakit kardiovaskular.

Untuk pengetahuan anda, marjerin yang mengandungi lemak trans meningkatkan risiko kematian sebanyak 34%.

Dahulu, marjerin sering didatangkan dalam bentuk sticks dan mempunyai kandungan lemak trans yang tinggi yang lebih berbahaya daripada mentega biasa. Produk-produk marjerin terkini kebanyakannya tidak lagi mempunyai lemak trans namun mempunyai kandungan lemak tepu.

Jadi, mana satu yang lebih bagus?
Kesimpulannya, tepuk dada, tanya selera. Ada sesetengah orang lebih cenderung untuk membeli mentega kerana sifatnya yang lebih semula jadi dan dihasilkan oleh susu lembu sebenar. Orang lain pula suka beli marjerin kerana harganya yang lebih murah.

Apa-apa pun, anda masih perlu mengawal pengambilan kedua-duanya kerana ia masih tinggi dengan kalori. Selain itu, anda perlu ingat dua perkara ini apabila berkira-kira nak beli mentega atau marjerin:

1. Elakkan lemak trans (Lemak Trans / Trans Fat : 0%)
2. Hadkan pengambilan lemak tepu (Lemak Tepu / Saturated Fat : 10 -13 gram sehari)
Sebelum beli marjerin, semak dahulu label sama ada ia mengandungi lemak trans atau tidak. Kalau label menyatakan terdapat kandungan lemak trans, seboleh-bolehnya elakkan daripada membeli. Cari marjerin lain ataupun belilah mentega.

semak label marjerin sebelum beli. Ingat, semak label!

Sumber rujukan:
1. Harvard Medical School
2. Stanford University
3. New Zealand Herald
4. America Heart Association
loading...

0 comment... add one now